Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendesak supaya siasatan serta pendakwaan dilakukan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai, Datuk Jamal Md Yunos walaupun menarik balik ancaman yang dikeluarkan bagi menganjurkan perhimpunan di Petaling Street pada 26 September ini.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan polis perlu melakukan tugas mereka secara profesional dan tidak berat sebelah ketika melakukan siasatan ke atas Jamal.

Menurutnya lagi, sekiranya Jamal tidak disiasat selepas mengeluarkan kenyataan yang berunsurkan ancaman jenayah, lebih banyak kumpulan seperti "Baju Merah" akan diwujudkan; di mana akan menjejaskan ekonomi negara khususnya untuk sektor pelancongan dan meruntuhkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

"Bagaimanapun, siasatan dan pendakwaan perlu diteruskan walaupun Jamal menarik balik rancangan untuk berhimpun (di Petaling Street) yang bertujuan bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjual barangan tiruan," katanya.

Pada 16 September lalu, Bersih 2.0 menegaskan Jamal yang mengetuai kumpulan Baju Merah sudah melakukan jenayah dengan mengeluarkan ancaman apabila merancang untuk merempuh hadangan polis di pintu masuk Petaling Street.

Susulan laporan media bahawa polis akan menyiasat Jamal, Bersih 2.0 menyambut baik pengumuman itu di mana beliau dijangka disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.