GEORGE TOWN:Polis Pulau Pinang menahan 21 individu termasuk lapan warga China yang dipercayai terlibat dalam sindiket pelaburan saham antarabangsa yang tidak wujud.

Sindiket yang menyasarkan pelabur dari China itu dikesan mula menjalankan aktiviti haram tersebut sejak dua bulan lalu di dua rumah mewah di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata aktiviti tersebut terbongkar susulan penahanan dua lelaki dalam sekatan jalan raya (SJR) Ops COVID-19 di Jalan Batu Feringghi, jam  7 malam, pada Sabtu.

"Mereka ditahan kerana berkelakuan mencurigakan. Susulan itu, pada hari yang sama, polis menyerbu dua buah rumah mewah iaitu banglo tiga tingkat di Batu Feringghi.

"Polis menahan 12 lelaki serta seorang wanita tempatan selain lima lelaki bersama tiga perempuan China yang kesemuanya berusia 23 hingga 37 tahun.

"Kita percaya sindiket terbabit mempunyai rangkaian di beberapa buah negeri lain dan menjalankan modus operandi yang sama," katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menawarkan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud melibatkan pelabur warga China.

Katanya, mereka dipercayai menggunakan aplikasi WeChat untuk mendekati mangsa selain membuat urusan pembayaran.

Beliau berkata,  operasi sindiket itu dijalankan di negara ini bagi mengelakkan hukuman berat di republik berkenaan jika kegiatan mereka terbongkar.

Katanya semua mereka yang ditahan itu menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap bulan.

Menurutnya empat daripada warga China yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala empat yang lain memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

Sahabudin berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut membabitkan nilai kerugian dialami mangsa selain mengesan dalang utama.

Mengenai serbuan, katanya antara lain polis merampas 453 buah telefon bimbit dan sembilan komputer riba dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan pelaburan.

Turut dirampas dua buah kereta yang digunakan suspek sewaktu melakukan jenayah.

Katanya, semua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.