BUKIT MERTAJAM: Sindiket penipuan penawaran pembelian barangan dari Taiwan secara dalam talian tumpas selepas Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah premis di Batu Feringghi, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

Sindiket itu dipercayai menjadikan sebuah banglo tiga tingkat sebagai pusat operasi menjalankan aktiviti haram tersebut sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, seramai 23 warga Taiwan terdiri  daripada 17 lelaki dan enam perempuan yang bekerja dengan sindiket berkenaan ditahan dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada pukul 6.30 petang itu.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan mendapati, sindiket berkenaan menawarkan pelbagai barangan berjenama seperti beg tangan, minyak wangi dan lain-lain yang dijual secara dalam talian.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan iklan itu akan diarahkan membuat pembayaran melalui platform daripada pautan yang diberikan oleh sindiket.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati  sindiket terbabit mensasarkan mangsa dalam kalangan warganegara Taiwan dan tidak melibatkan warga tempatan.

“Hasil siasatan awal mendapati, tiada mangsa tinggal di Malaysia berkemungkinan besar apa yang kita dapat tafsirkan (mengenai) mangsa mereka adalah yang mungkin berasal dari Taiwan.

“Saya ingin menasihatkan pengguna sosial media yang beli barangan di dalam talian pastikan  penjual yang mempunyai kewibawaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, pada Isnin.

Jelasnya, suspek juga sempat memadam rekod transaksi dan bahan bukti sebelum kesemua mereka ditahan.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan juga mendapati kesemua suspek berusia di antara 19 hingga 48 tahun itu tiba di negara ini pada Mei lepas selepas tertarik dengan tawaran kerja yang diiklankan melalui akhbar di Taiwan yang menjanjikan gaji RM7,000 sebulan.

Dalam serbuan itu polis, kata beliau, turut merampas 46 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 14 unit komputer riba, lapan unit Ipad dan enam unit walkie-talkie serta 12 keping kad prabayar.

Turut dirampas dua unit 'card reader', dua unit pendrive dan masing-masing satu unit portable dan router wifi yang digunakan sindiket terbabit.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat atau denda.