TANAH MERAH:Polis yang meragui 'cerita' kemalangan di tempat kerja yang didakwa telah menyebabkan kematian seorang lelaki rakyat Thailand telah bertindak menahan ibu dan abang mangsa selepas mendapati mayatnya mempunyai dua kesan tikaman di bahagian rusuk kiri dan kanan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata mayat lelaki berusia 25 tahun itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Gual Ipoh pada 10 pagi Khamis oleh abang dan ibu mangsa, masing-masing berusia 28 dan 50 tahun.

"Pihak kami menerima satu laporan mengatakan terdapat satu mayat telah dibawa ke klinik itu yang didakwa meninggal dunia akibat kemalangan ketika melakukan kerja memotong rumput di kampung terbabit oleh ibu dan abang mangsa.

"Pasukan siasatan kami telah pergi ke klinik itu dan mendapati ada satu mayat warganegara Thailand yang mempunyai dua tikaman dibawah rusuk sebelah kiri dan kanan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata melihat kepada kecederaan yang dialami mangsa, pihaknya meragui 'cerita' keluarga mangsa yang mendakwa lelaki itu terjatuh ketika memotong rumput dan kemudian tertusuk sebilah pisau yang dibawanya.

Zainuddin berkata susulan itu, polis telah menjalankan siasatan lanjut kerana percaya ada kemungkinan berlaku kejadian bunuh disebabkan kesan tikaman sedemikian adalah sinonim dengan tusukan senjata tajam dan mangsa dipercayai dibunuh di Kampung Bukit Curi, Mukim Bukit Kecil di sini.

"Malah hasil siasatan awal daripada ibu mangsa mendedahkan ada pergaduhan antara mangsa dan abang mangsa semalam dan pihak kami menahan ibu serta abang mangsa bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata bedah siasat sedang dijalankan dan pihaknya masih lagi melakukan siasatan di rumah mangsa yang bekerja sebagai buruh kampung itu setelah menemui kesan darah di situ.

"Punca kematian tidak boleh disahkan lagi... namun siasatan menjurus kepada kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kemungkinan kejadian berlaku lebih awal berdasarkan kepada keadaan mayat mangsa yang sudah kaku ketika dibawa ke klinik kesihatan itu," katanya.

-- BERNAMA