KUALA LUMPUR: Polis telah merujuk kertas siasatan berhubung kes video tular seorang wanita warga tempatan tidak berpuas hati anaknya didenda oleh guru sekolah di Ampang, ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata ibu mangsa berusia 34 tahun itu, mendakwa anaknya berusia 11 tahun diarahkan guru berkenaan untuk berdiri di kawasan padang yang panas selama lebih dua jam, sebagai satu bentuk denda pada 30 April lepas.

Namun beliau berkata hasil siasatan mendapati, suspek yang merupakan guru lelaki warga tempatan berumur 37 tahun, telah memberi hukuman denda berdiri kepada mangsa bersama tiga lagi rakannya yang lain selama 10 minit.

"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami heat exhaustion. Siasatan telah lengkap dan dirujuk ke Pejabat TPR Selangor untuk penelitian lanjut kertas siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, tular satu video di media sosial di mana ibu mangsa bersama satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menyatakan tidak berpuas hati berkenaan siasatan dan cara pengendalian kes terbabit.

Mohd Azam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak-kanak.

-- BERNAMA