Skip to main content

Malaysia

BRICS: PM adakan perbincangan dengan Prabowo, El-Sisi dan Guterres, sentuh isu serantau

Amid the dinner reception for the 18th BRICS Leaders Summit last night, I had the opportunity to speak with several friends among world leaders, including the President of Egypt, the President of Indonesia, the President of Kazakhstan, the Deputy Prime Minister of Uzbekistan, the UN Secretary-General, and the WTO Director-General. -- X Anwar Ibrahim
Anwar mengadakan interaksi diplomasi dengan pemimpin-pemimpin negara pada sela-sela majlis makan malam rasmi sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 malam tadi.
Advertisement

NEW DELHI: Isu krisis kemanusiaan berlarutan di Gaza, ketegangan Asia Barat, serta jerebu kebakaran hutan rentas sempadan menjadi antara topik utama perbincangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan-rakan sejawat dunia di New Delhi.

Interaksi diplomasi itu berlangsung di sela-sela majlis makan malam rasmi sempena Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 malam tadi.

Menerusi perkongsian di media sosialnya pagi ini, Anwar memaklumkan beliau sempat bertukar pandangan bersama barisan pemimpin utama termasuk Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev.

Pemimpin lain yang turut mengadakan perbincangan dengan Anwar ialah Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Kuchkarov, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres, serta Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia Ngozi Okonjo-Iweala.

Menurut Anwar, fokus perbualan bersama pimpinan dunia itu terarah kepada perkembangan geopolitik semasa, khususnya penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang memerlukan komitmen kolektif antarabangsa.

"Keadaan ini menuntut kesatuan masyarakat dan pimpinan dunia untuk menghentikan pertumpahan darah dan mengusahakan penyelesaian yang adil serta berkekalan," jelas beliau.

 

 

Menyentuh hubungan Putrajaya dan Kaherah, Anwar berkata perbincangan lanjut bagi memperkukuh kerjasama dua hala bakal digerakkan semasa lawatan rasmi El-Sisi ke Malaysia pada bulan hadapan.

Sementara itu, perbincangan bersama Prabowo menumpukan kepada isu jerebu susulan kebakaran hutan serantau serta krisis di Asia Barat yang menuntut kesepakatan jitu antara kedua-dua negara jiran.

Anwar turut memperbaharui jemputan rasmi kepada Prabowo untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat bagi menyelesaikan beberapa perkara dua hala yang masih tertangguh.

Sesi perbincangan di majlis makan malam berkenaan melengkapkan hari kedua misi kerja Perdana Menteri di New Delhi sebelum bermulanya sesi pleno rasmi Sidang Kemuncak BRICS di Pusat Konvensyen Bharat Mandapam hari ini.

Must Watch Video

Advertisement