JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan kes kematian seorang wanita di sebuah bilik hotel di sini pada awal pagi tadi tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda berlaku pergelutan di dalam bilik hotel wanita itu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang wanita yang tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik hotel pada kira-kira 3.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan oleh pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di lokasi mengesahkan wanita berumur 40-an itu telah meninggal dunia.

"Kes disiasat di bawah mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis JBS di 07-228 2323 atau pegawai penyiasat Inspektor Asri Jamalin di talian 014-627 0324 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA