Skip to main content

Dunia

Pesawat Frontier Airlines langgar penceroboh di Lapangan Terbang Denver, seorang maut

Frontier Airlines jetliner number n646fr sits outside the airlines technical operations center with other jetliners in for service north of Denver International Airport Saturday, May 9, 2026, in Denver. (AP Photo/David Zalubowski)
Pihak berkuasa berkata individu terbabit telah memanjat pagar keselamatan lapangan terbang kira-kira dua minit sebelum pelanggaran berlaku. - Foto AP

DENVER: Sebuah pesawat Frontier Airlines melanggar seorang individu yang menceroboh landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Denver, mengakibatkan kematian mangsa dalam kejadian pada malam Jumaat.

Menurut rakaman komunikasi menara kawalan trafik udara, juruterbang penerbangan 4345 yang sedang berlepas ke Los Angeles memaklumkan pesawat mereka “baru sahaja melanggar seseorang” sebelum menghentikan proses berlepas.

Juruterbang turut melaporkan berlaku kebakaran pada enjin pesawat.

Pesawat jenis Airbus A321 itu membawa 224 penumpang dan tujuh anak kapal ketika kejadian.

Semua penumpang berjaya dipindahkan menggunakan gelongsor kecemasan sebagai langkah berjaga-jaga selepas asap dikesan di dalam kabin.

Kebakaran berjaya dipadamkan dengan pantas oleh pasukan bomba.

Pihak lapangan terbang memaklumkan seramai 12 penumpang mengalami kecederaan ringan, dengan lima daripadanya dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Kejadian berlaku sekitar jam 11 malam waktu tempatan apabila pesawat sedang memecut untuk berlepas.

Pihak berkuasa berkata individu terbabit telah memanjat pagar keselamatan lapangan terbang kira-kira dua minit sebelum pelanggaran berlaku.

Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy, berkata pencerobohan itu dilakukan secara sengaja dan menegaskan orang awam tidak sepatutnya menceroboh kawasan lapangan terbang.

Rakaman penumpang menunjukkan kepulan asap di dalam kabin, manakala seorang saksi berkata beliau terdengar bunyi hentaman kuat sebelum melihat sayap pesawat terbakar.

Operasi di landasan terbabit digantung sementara, dan siasatan dilancarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) serta Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).

Frontier Airlines menyatakan pihaknya amat dukacita dengan kejadian tersebut dan merakamkan simpati kepada semua yang terlibat.
 

 

Must Watch Video