KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sarawak hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM1.78 juta yang dirampas sejak 10 tahun lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata dadah seberat lebih 45 kilogram (kg) itu antara barangan kes yang dimusnahkan menggunakan teknologi terkini di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching, kira-kira 27 kilometer dari sini.

"Ia (rampasan dadah ini) melibatkan 3,416 kes dari 2012 hingga 2022 daripada 19 daerah dalam kontinjen Sarawak yang telah selesai semua peringkat siasatan dan perbicaraan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata dadah berkenaan terdiri daripada 32.4kg syabu, pil ekstasi (8.2kg), ganja (4.1kg), serbuk ekstasi (924.4 gram), pil Erimin (117.5 gram), ketamin (63.97 gram), pil Nospan (6,453 biji), air ketum (55 liter) serta sebatang pokok ganja.

Katanya proses pelupusan itu disaksikan oleh Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Ghani Abdullah.

Menurut Mancha sejak 1 Jan hingga 6 Ogos tahun ini, JSJN Sarawak menahan 6,807 individu termasuk 109 pengedar dadah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dengan keseluruhan rampasan dadah bernilai RM128.7 juta.

-- BERNAMA