SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine yang dipercayai bergerak aktif sejak enam bulan lalu berikutan penahanan lapan individu termasuk dua wanita warga asing pada 23 Sept lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Sharul Lalli Masduki berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serdang telah merampas 62 bungkusan disyaki dadah methamphetamine bernilai RM2.5 juta di dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya di Seri Kembangan, pada kira-kira 6.30 petang.

Beliau berkata ekoran daripada rampasan itu, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam ditahan di sebuah kondominium di Brickfields, Kuala Lumpur dan susulan penahanan tersebut lima lagi lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand ditahan di tiga lokasi berbeza di Dang Wangi.

"Modus operandi mereka adalah dengan menggunakan kenderaan sewa yang ditinggalkan di satu-satu kawasan dan kemudiannya individu lain akan datang mengambil dadah itu daripada kenderaan berkenaan dan hanya berhubung melalui telefon atau kaedah media yang lain," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 31 hingga 53 tahun tersebut adalah penganggur manakala dua suspek wanita warga asing itu merupakan isteri kepada dua suspek lelaki yang ditahan.

Katanya daripada kesemua yang ditahan, lima didapati mempunyai rekod jenayah dan berkaitan kes dadah dengan tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Selain itu, beliau berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM126,000 dan lima kereta bernilai RM590,000 manakala kesemua suspek kini direman bermula 24 Sept hingga 4 Okt mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sharul Lalli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.

-- BERNAMA