GEORGE TOWN:Polis sudah mengambil keterangan pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang terlibat dalam kemalangan di KM 163.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, Syafiq hadir memberi keterangan di IPD Seberang Perai Selatan di Jawi, semalam.

Chong Chern berkata pihaknya akan menyemak semua fakta yang ada untuk rujukan Timbalan Pendakwa Raya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, bapa Syafiq, Ahmad Ibrahim berkata mereka sekeluarga terkilan dan sedih dengan laporan yang menyebut anaknya dipercayai terlelap sebelum terlibat dengan kemalangan itu.

Ahmad menjelaskan, anak sulungnya itu berkali-kali memaklumkan kepadanya yang dia cuba mengelak sesuatu sehingga menyebabkan kereta jenis Toyota Vellfire dipandunya terbabas.

BACA: Mohon beri ruang dan masa kepada Muhammad Syafiq - Bapa 

BACA: Kemalangan Syafiq Ahmad: Pemandu dipercayai terlelap, hilang kawalan - Polis 

Malah, Muhammad Syafiq juga memberitahunya, sebelum kejadian dia sedang berbual-bual dengan isterinya, Nur Amalina Norain, 25, yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

Ahmad berkata anaknya juga sudah memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jawi semalam berhubung kejadian kemalangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Laporan awal polis sebelum ini menyebut Muhammad Syafiq yang memandu Toyota Vellfire mungkin terlelap sebelum terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Sungai Bakap kira-kira jam 4 pagi Ahad lalu.

Akibat kejadian itu, kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter.

Insiden itu menyebabkan dia kehilangan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah mereka iaitu wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki oleh enam orang dengan dipandu penyerang JDT itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah.

BACA: Isteri Syafiq dipindahkan ke HKL hari ini