SHAH ALAM: Polis menyerbu sebuah kontena di Kampung Bukit Cerakah, Klang yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah haram dan menahan dua lelaki pada 30 Jan lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil serbuan pada 3 petang itu, polis merampas 440 gram ketulan kristal methamphetamine, 1.03 kilogram (kg) cecair methamphetamine dan 53.03kg  serbuk ephedrine, pelbagai peralatan dan bahan kimia bagi tujuan penghasilan dadah.

"Kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang, serta seorang buruh lelaki warga asing berumur 37 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, direman tujuh hari sehingga 6 Feb," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata polis percaya aktiviti itu, berjalan lebih dua bulan di sebidang tanah yang mulanya disewa bagi tujuan memproses minyak namun terbengkalai, dan kontena itu telah digunakan untuk memproses dadah, selain tempat tersebut agak terlindung daripada penglihatan orang ramai.

"Soal bagaimana mereka mendapatkan bahan untuk memproses dadah dan bagaimana mereka belajar membuatnya itu masih dalam siasatan, dan kita percaya kontena itu berpindah randah berdasarkan peralatannya," katanya.

Hussein berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Dalam perkembangan lain, Hussein  berkata bagi Ops Tapis Khas SeMalaysia yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor selama tiga hari bermula 29 Jan lepas, seramai 670 individu ditahan termasuk warga asing melalui 349 serbuan.

"Ops ini menggempur 193 lokasi yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Felda, Felcra, Projek Perumahan Rakyat dan jeti nelayan, selain seramai 42 tokan dadah dan 20 orang berstatus dikehendaki, berjaya ditahan," katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 63.544kg dan 32 liter cecair pelbagai jenis dadah dirampas, dengan anggaran nilai RM868,163.

Hussein berkata turut dirampas selaras senapang angin buatan sendiri di daerah Klang Utara, yang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. 

-- BERNAMA