MALAYSIA
Polis serbu pusat panggilan, bongkar sindiket penipuan laman sesawang lucah

Rusdi mendedahkan sindiket penipuan laman sesawang lucah ini meraih keuntungan satu hari berjumlah berjumlah 61,200 rupee atau RM3,000 dan sebulan (20 hari) bernilai 1,224,000 rupee atau RM60,000. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan pusat panggilan atau ‘call center’ yang menjalankan penipuan 'like & share' serta menguruskan pemasaran laman sesawang lucah menyasarkan pengguna di negara India.
Ringkasan AI
- Polis menahan 57 individu termasuk warga tempatan dan China kerana terlibat dalam penipuan like & share dan pemasaran laman lucah yang menyasarkan pengguna di India.
- Sindiket menawarkan akses percuma sementara dan keahlian berbayar, namun selepas bayaran dibuat, akaun disekat serta pengguna dipaksa bayar tambahan, lalu tidak lagi dapat dihubungi.
- Polis rampas 58 komputer, satu telefon dan satu perakam suara. Enam individu didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan, manakala 51 lagi dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.
“Individu yang berminat dengan kandungan lucah ditawarkan perlu like dan share platform disediakan, kemudian diberikan akses percuma bagi waktu terhad.
“Sekiranya hendak mendapatkan akses lebih eksklusif, pengguna perlu membuat sejumlah pembayaran bagi mendapatkan status keahlian.
“Namun setelah pembayaran dibuat, sindiket akan menyekat akaun pengguna serta meminta wang tambahan kononnya melanggar syarat ditetapkan, kemudian lesap dan gagal dihubungi,” ujar Rusdi dalam satu sidang media di Menara KPJ, di sini pada Rabu.
Bagi keahlian asas, bayaran 50 hingga 100 Rupee (RM2.45-RM4.89) dikenakan, manakala keahlian premium bayaran 200 hingga 500 Rupee (RM9.78-RM24.46) dan keahlian VIP bayaran 1,000 hingga 2,000 Rupee (RM48.91-RM97.83).
“Keuntungan sindiket ini dianggarkan satu hari berjumlah 61,200 rupee atau RM3,000 dan sebulan (20 hari) bernilai 1,224,000 rupee atau RM60,000.
“58 unit laptop pelbagai jenayah, satu unit telefon bimbit dan satu unit perakam suara dirampas ketika serbuan,” jelas Rusdi.
57 individu ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 26 wanita warga tempatan, dua lelaki dan seorang wanita warganegara China.
“Enam daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan pada 4 Julai lepas, kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
“Mereka membayar ikat jamin mahkamah antara RM1,500 hingga RM2,000, sebutan semula kes pada 22 Ogos 2025. Baki 51 individu dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” ujar beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami