KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat dakwaan keluarga Too Kim Yoong berhubung tindakan polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek ketika ditahan pada 22 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terhadap suspek dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

"Siasatan telah dijalankan, pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sedang dalam proses buat tangkapan berdasarkan report dibuat.

"Seperti mana diterangkan Ketua Polis Daerah Kajang bila berlaku (kes) ini, mereka lepaskan tembakan. Berkenaan dakwaan dikeluarkan keluarga, perkara itu kita akan siasat.

"Kita telah buka kertas siasatan dan segalanya ktia akan siasat secara terperinci," jelasnya dalam sidang media dalam talian pada Rabu.

Terdahulu, keluarga mangsa diwakili peguam Wong Khai Pun mendakwa polis menggunakan kekerasan berlebihan ketika cuba menahan suspek yang juga anak guamnya.

Dalam satu sidang media yang diadakan, Khai Pun mendakwa, polis berpakaian awam telah melepaskan tembakan ke arah kenderaan anak guamnya yang turut dinaiki dua kanak-kanak pada 22 Julai lalu.

Sementara itu, isteri kepada anak guamnya , Xiau Wun telah membuat laporan polis berhubung isu itu.

Tambahnya, kediaman anak guamnnya turut digeledah pada tarikh tersebut.

Malah beberapa barangan peribadi didakwa telah diambil oleh pihak polis tetapi kesemuanya tidak direkodkan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam satu kenyataan media memaklumkan, tangkapan ke atas suspek dibuat sekitar pukul 3.05 petang 22 Julai lalu.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota daripada JSJN Bukit Aman telah cuba menahan kenderaan yang dipandu suspek di hadapan pos pengawal Taman Bayu Mas, Cheras Hartamas.

Bagaimanapun, suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaannya sehingga menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.

Suspek, bagaimanapun, berjaya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.