MALAYSIA
Polis siasat dakwaan unsur syirik, tarian bogel dalam program motivasi rumah tangga

Mohd Iqbal berkata, laporan berkaitan kejadian itu diterima pada akhir Februari lalu dan siasatan sedang dijalankan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung satu program motivasi rumah tangga yang dikaitkan dengan unsur mencolok mata dan amalan syirik seperti yang tular di media sosial, dipercayai berlaku antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Ringkasan AI
- Polis dan JAIS sedang siasat program motivasi yang didakwa ada unsur syirik dan kelakuan tidak bermoral.
- Laporan dibuat selepas peserta dakwa berlaku tarian bogel dan pemberian minuman mencurigakan.
- Pihak berkuasa minta saksi dan bukti tambahan bantu siasatan lanjut.
"Hari ini kita telah memanggil isteri pengadu dan beberapa saksi di lokasi kejadian bagi diambil keterangan.
"Beberapa perkara masih perlu disahkan sebelum sebarang tindakan susulan diambil, sama ada oleh pihak polis atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Mohd Iqbal, JAIS turut dimaklumkan dan hadir bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Rakan-rakan media diminta bersabar kerana siasatan masih di peringkat awal.
"Polis perlu sahkan dahulu sama ada kejadian benar-benar berlaku atau sebaliknya.
"Sekiranya ada individu lain yang turut menjadi saksi atau mempunyai bahan bukti seperti gambar atau video, mereka dialu-alukan untuk tampil membantu siasatan dengan hubungi IPD Shah Alam atau Pegawai Penyiasat ASP Anuar Amilah di nombor 019 225 5597," katanya.
Pada Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Sirajuddin Suhaimee, memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan bersama JAIS bagi memastikan segala maklumat berkaitan kejadian adalah sahih dan jelas sebelum tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa program berkenaan turut melibatkan tarian bogel dan amalan meragukan pada hari terakhir penganjurannya.
Dakwanya, peserta turut diberikan sejenis minuman khas yang menyebabkan mereka lebih berani bertindak luar batasan.
Wanita itu mendakwa semua bukti berkaitan program berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa agama, namun menyuarakan rasa kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami