GEORGE TOWN:Dua remaja dilaporkan parah selepas mereka terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal di Jalan Sri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong, Pulau Pinang petang Ahad.

Kedua-duanya dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum terlanggar sebuah kereta di persimpangan jalan itu dan bukannya ditendang polis sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis telah menerima laporan polis daripada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Namun Soffian berkata berdasarkan laporan, kemalangan dipercayai berlaku selepas dua remaja berkenaan yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar melarikan diri sewaktu bertembung dengan anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut yang sedang melakukan rondaan pada 5.20 petang.

Beliau berkata, anggota polis terbabit mengarahkan mereka memberhentikan motosikal, namun kedua-duanya ingkar dan terus melarikan diri.

Malah mereka juga dikatakan melanggar lampu isyarat merah sehingga berlanggar dengan kereta dipandu lelaki dari arah George Town menuju ke Tanjung Bunga.

Akibat perlanggaran itu kedua-dua remaja berkenaan terbabas dan cedera.

Bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan, namun keretanya mengalami kerosakan di bahagian depan.

Sehubungan itu, polis menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian sehingga mengelirukan.

"Siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut di talian 010-9771517.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Video kejadian tular di media sosial pada Ahad mendakwa dua remaja terbabit cedera parah akibat terjatuh daripada motosikal yang didakwa ditendang dua anggota polis.