KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan berkenaan penyebaran satu salinan Nota Diplomatik bertaraf sulit yang diterima oleh Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan polis dibuat oleh Pegawai Tadbir Diplomatik, Kementerian Luar Negeri (KLN) di Balai Polis Melaka Tengah pada 22 Februari lalu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain).

"Polis juga sudah merakam percakapan pengadu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini (Ahad)," katanya pada Ahad.

Tambah Razarudin, pihaknya juga akan mengenal pasti saksi-saksi yang lain bagi membantu siasatan.

Pada Jumaat, media tempatan melaporkan KLN dalam kenyataan memaklumkan laporan polis itu dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung penyebaran berkenaan.

KLN akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses ini.

KLN turut menekankan kepentingan memelihara kerahsiaan komunikasi diplomatik dengan negara-negara sahabat dan rakan antarabangsa lain.

Sebelum itu, tular satu surat dari kerajaan Magribi berkaitan penjelasan mengenai lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW. - Sinar Harian