KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat satu video tular yang mendakwa seorang individu warga Myanmar memiliki MyKad selepas menerima laporan berhubung kandungan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya menerima laporan mengenai video itu pada kira-kira jam 8.45 pagi, Jumaat lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati video yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Na'am Ahmad itu mempersoalkan bagaimana seorang individu yang didakwa berasal dari Myanmar boleh memiliki kad pengenalan biru Malaysia.
"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati video berkenaan adalah kandungan yang dimuat naik semula oleh pihak kedua.
"Semakan lanjut juga mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad dipaparkan dalam video itu bagi menyokong dakwaan yang dibuat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata perkara itu telah dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pengesahan serta siasatan lanjut.
Aidi Sham turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat selain menjejaskan reputasi pihak terbabit.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang dikongsi menerusi akaun TikTok memaparkan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Myanmar dan mengakui memiliki MyKad.
Pemilik akaun berkenaan turut mempersoalkan sama ada individu terbabit memiliki MyKad palsu, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), atau tersalah faham antara permit kerja dengan MyKad yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia.
Menerusi video itu juga, beliau menggesa pihak Imigresen dan agensi penguat kuasa berkaitan menjalankan siasatan segera sekiranya dakwaan berkenaan benar bagi mengelakkan timbulnya keresahan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Difahamkan, pihak JPN telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.