KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 individu termasuk dalang utama sindiket penipuan pelaburan GHC dan wang kripto melibatkan nilai lebih RM51 juta menerusi beberapa serbuan di Lembah Klang antara 13 dan 21 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua suspek dipercayai Geng Wong, berusia 28 hingga 51 tahun itu ditahan reman antara tiga dan tujuh hari.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, polis mendapati sindiket itu membersihkan hasil yang diperolehi melalui cara tidak sah dengan melabur dan membuka perniagaan.

"Sindiket ini memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari negara asing berkenaan ke Malaysia menggunakan pengurup wang tidak berdaftar serta transaksi mata wang kripto.

"Berdasarkan siasatan, sindiket pengubahan ini menjalankan wang haram menggunakan kaedah seperti urusan jual beli nombor pendaftaran eksklusif dan klasik bernilai tinggi dan jual beli jam tangan berjenama di kedai jam bertempat di Bukit Jalil.

"Selain itu, mereka juga melaburkan wang dalam perladangan buah durian seluas 40.4 hektar di Pahang dan menggunakan pengurup wang tidak berdaftar bagi menukarkan kripto kepada tunai sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa undang-undang," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Dalam serbuan itu, Razarudin memberitahu, polis turut menyita 129 keping geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif atau istimewa bernilai RM18 juta, 75 utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM10 juta, 18 buah kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai RM8 juta, wang tunai RM503,001, 203 motosikal berjumlah RM406,000 dan 10 buah beg tangan pelbagai berjenama bernilai RM90,000.

"Selain itu, kita turut menyita wang tunai dalam bentuk mata wang asing iaitu 320,000 Yen, 3,940 Baht, 455 Turkiye, 290 Yuan, AS$305, 27,000 Won, SG$200, AUS$200, 10 buah buku cek,12 unit telefon bimbit dan peralatan komputer, " tambahnya.

Razarudin berkata, tindakan pembekuan ke atas 33 akaun bank berjumlah RM10,714,175.62 dan penyitaan mata wang digital kripto sebanyak RM3,500,000 mengikut nilai semasa yang dipercayai hasil daripada aktiviti penipuan pelaburan itu turut dilakukan.

Jelasnya, siasatan mendapati wang hasil aktiviti haram itu digunakan untuk membeli hartanah di Malaysia.

Beliau bagaimanapun yakin masih ada saki baki sindiket itu yang masih bebas.

"Ini sebenarnya baru satu sindiket yang kita tumpaskan, ada lagi sindiket lain dalam radar kita," ujarnya.