Polis menggempur tiga lokasi yang dipercayai menjadi tumpuan 'mat gian' di sekitar daerah Kubang Pasu dengan menahan 21 individu termasuk seorang wanita disyaki penagih dadah, hari ini.

Dalam serbuan 24 jam bermula jam 12.01 tengah malam hingga 12 malam tadi, kesemua suspek terbabit di kawasan Jitra, Tunjang dan Pida, Jitra dicekup dalam operasi pencegahan dadah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Helmi Aris, serbuan dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Hasil operasi, polis berjaya menahan seramai 21 orang yang berusia antara 20 tahun hingga 35 tahun.

Daripada jumlah itu, 20 orang daripadanya adalah lelaki manakala seorang lagi adalah wanita dan kebanyakan daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Helmi berkata, seramai tujuh orang disyaki pengedar dadah ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala lima daripadanya ditahan mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan tiga orang lagi mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

Beliau berkata, enam lagi yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemunya positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

Kesemua mereka ditahan di lokap IPD Kubang Pasu untuk siasatan lanjut.

Helmi berkata, jumlah rampasan dadah jenis heroin anggaran berat 161.52 gram dan 11.84 gram syabu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM9,852.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menyita motosikal sebanyak lima buah iaitu motosikal seperti Yamaha Lagenda, Demak Evo ZR, Yamaha Y15, Yamaha Y125ZR yang digunakan untuk mengedar dadah.

Turut dirampas sejumlah wang tunai RM2,098.

Nilai sitaan motosikal dan wang tunai berjumlah RM27,398.