GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah dengan penahanan dua lelaki bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM135,250 dalam dua serbuan di negeri ini dan Kedah, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melancarkan operasi bermula 10 malam Jumaat hingga 7 pagi semalam dan berjaya menahan kedua-duanya yang berusia 27 serta 30 tahun.

"Mereka ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Simpang Ampat, Nibong Tebal. Pemeriksaan menemukan 22 bungkus disyaki heroin seberat 10 kilogram dan syabu seberat 6.25 gram, kesemuanya bernilai RM135,250.

"Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Baharu, Kedah dan berjaya membongkar makmal memproses dadah di situ. Polis percaya sindiket tersebut menghasilkan heroin di situ sebelum dua lelaki tersebut mengedarkannya untuk pasaran tempatan, " katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata semasa serbuan, tiada sesiapa didapati di situ namun polis merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan bagi memproses dadah jenis heroin.

Khaw berkata polis kini giat mengesan beberapa ahli sindiket tersebut yang dipercayai mempunyai kepakaran memproses heroin dan mereka disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta negeri jiran.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum memprosesnya di rumah di Bandar Baharu itu dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini.

"Dua lelaki ditahan itu mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan 13 rekod berkaitan dadah selain positif terhadap dadah," katanya dan menambah semua dadah dirampas boleh digunakan 20,000 penagih atau 20,000 kali penggunaan.

Katanya kedua-dua lelaki itu direman hingga 28 Julai ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA