Skip to main content

Malaysia

Polis tahan enam individu termasuk suami isteri disyaki pecah masuk pencawang komunikasi

PDRM
Enam individu termasuk pasangan suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pecah masuk tapak pencawang telekomunikasi di Nilai Spring, Bandar Baru Nilai, sejak semalam hingga awal pagi tadi.

SEREMBAN: Enam individu termasuk pasangan suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pecah masuk tapak pencawang telekomunikasi di Nilai Spring, Bandar Baru Nilai, sejak semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Johari Yahya berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian dan rumah selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 7.17 malam semalam.

Advertisement

“Pemeriksaan di lokasi mendapati pintu pelindung Remote Radio Unit (RRU) milik syarikat telekomunikasi terbuka akibat dipecah masuk dan beberapa peralatan didapati hilang dipercayai dicuri.

“Polis turut merampas beberapa unit peralatan telekomunikasi termasuk Huawei RRU, Quad Band Combiner serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah selain kenderaan digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Johari berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu bertindak secara terancang dengan memecah masuk pencawang telekomunikasi dan mencabut komponen peralatan sebelum dijual di pasaran besi buruk.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati sebahagian besar suspek mempunyai rekod jenayah termasuk curi, samun serta kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Johari berkata, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini bagi permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut turut terlibat dalam beberapa kes kecurian lain di sekitar Nilai dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video