SHAH ALAM: Polis menahan enam termasuk seorang wanita tempatan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau yang menggunakan Perodua Axia merah di Jalan Plumbum, Seksyen 7, di sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata kejadian berlaku pada 5.30 pagi 16 Feb semasa mangsa, wanita Indonesia berjalan kaki untuk membuang sampah yang menyebabkannya mengalami kerugian dianggarkan antara RM350 hingga RM500.
Advertisement
“Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berjaya menahan kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an dan kenderaan terlibat pada kira-kira 9 malam hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramsay berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani menerusi talian 017-2892 628 untuk membantu siasatan.
Dalam kes berasingan, Ramsay berkata polis giat mengesan seorang lelaki terlibat kejadian pecah rumah di Seksyen 7 yang menyamar sebagai wanita susulan laporan oleh seorang penuntut perempuan berusia 20-an pada petang semalam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9.26 pagi 18 Feb dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bertudung dan membawa beg tangan bagi mengelakkan perbuatannya dikesan penghuni di situ,” katanya.
Ramsay berkata kejadian berlaku semasa rumah itu kosong kerana mangsa bercuti sehari sebelumnya dan mendapati rumah disewa bersama-sama rakan berselerak ketika kembali. Bagaimanapun tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Ramsay meminta mereka mempunyai maklumat kejadian menghubungi Sarjan Rustam Eliah menerusi talian 019-6148 034.
“Orang ramai diminta memaklumkan kepada jiran atau balai polis berdekatan jika ingin meninggalkan rumah dalam tempoh tertentu bagi memudahkan pemantauan,” katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki bertudung dan membawa beg tangan memanjat jeriji pintu untuk mengalih kedudukan CCTV di hadapan pintu sebuah kediaman tular di media sosial.
-- BERNAMA
TAG: polis, pecah rumah, Seksyen 7, CCTV