NIBONG TEBAL: Polis Daerah Seberang Perai Selatan menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden mengasari seorang lelaki dalam dalam kejadian di sebuah rumah di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan susulan tular di laman media sosial dua rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu memukul seorang lelaki menggunakan kayu sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan ( SPS) Supritendan Lee Chong Chern berkata, susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengesan dua video masing-masing berdurasi 44 dan 26 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook (FB) dikenali ‘Dorai Samy’.

Menurutnya, rakaman video memaparkan kejadian seorang lelaki dikasari oleh beberapa individu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan tangan kanan akibat dipukul suspek.

Berdasarkan siasatan, kejadian dilaporkan berlaku pada Ahad lepas (3 April ) kira-kira jam 12.50 tengah malam.

“Siasatan awal pihak polis mendapati, kejadian berpunca akibat salah faham dan perasaan cemburu yang tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Chong Chern berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

“Sehingga kini tiada laporan polis yang dibuat oleh mangsa ekoran kejadian menimpanya.

“Bagaimanapun berikutan kejadian ini, polis membuat tangkapan terhadap suspek yang terlibat dan membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Chong Chern berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk perhatian dan arahan lanjut.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau menularkan video yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Orang ramai juga diminta tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya membuat laporan polis dan menyerahkan kepada agensi penguatkuasa untuk tindakan susulan,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua klip video yang dimuat naik di media sosial itu menunjukkan  seorang lelaki yang dikatakan bekerja sebagai kontraktor elektrik dikasari beberapa individu yang memukul anggota badannya dengan kayu.

Dalam hantaran itu turut mendakwa bahawa lelaki berkenaan cuba melakukan jenayah pecah rumah hingga warganet yang tidak mengetahui kejadian sebenar turut mengecam tindakan itu, selain ada juga yang meminta perbuatan mengasari lelaki terbabit dihentikan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis.