GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menahan seorang lelaki yang berjalan sambil memegang sebilah sabit dan mengganggu lalu lintas di Jalan Ketitir, Bukit Gambir, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata lelaki berusia 53 tahun itu diberkas polis kira kira jam 11.40 pagi tadi.

Soffian berkata, pihak polis bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah cuba menangkap lelaki tersebut sebaik menerima laporan daripada orang awam pada malam Rabu.

Bagaimanapun lelaki yang bertindak agresif itu berjaya melarikan diri masuk ke kawasan hutan simpan rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM).

"Tindakan mengesan suspek terpaksa dihentikan pada jam 2 pagi tadi berikutan keadaan gelap dan berisiko kepada pasukan keselamatan."

"Usaha mencari kemudiannya diteruskan pada jam 10 pagi tadi, dan 10 minit kemudian pasukan polis berjaya mengesan lelaki tersebut.

"Lelaki itu enggan menyerah diri serta bertindak agresif, berlari ke arah jalan utama (Jalan Bukit Gambir) dan bertindak menakutkan pengguna jalan raya serta penduduk kawasan perumahan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Soffian berkata, pihak polis dengan bantuan anggota JBPM akhirnya berjaya menahan lelaki itu.

Katanya, tiada individu yang cedera akibat insiden tersebut serta tiada kerosakan harta benda awam mahupun persendirian dilaporkan.

Soffian berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempuyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan kes dadah.

Jelasnya, saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis heroin.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca serta motif dia berbuat demikian.

"Lelaki itu juga akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental," katanya.

Soffian berkata permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat esok untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan hanya berseluar tanpa baju berjalan sambil memegang sebilah sabit dan kayu di tengah Jalan Ketitir, Bukit Gambir.

Video berdurasi 38 saat yang dirakam pengguna jalan raya itu kelihatan beberapa anggota bomba sedang membantu menenangkan lelaki tersebut.