MELAKA: Polis menahan seorang lelaki disyaki mencederakan lelaki warga emas, cuba melarikan sebuah kenderaan serta mengganggu orang awam di Ayer Molek di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata suspek berusia 36 tahun dipercayai memukul kepala warga emas itu dengan menggunakan botol kaca sebelum kejadian pada 7.30 malam itu disedari anak perempuan mangsa yang berusia 33 tahun.
“Anak mangsa mendengar jeritan di bahagian belakang rumah sebelum mendapati bapanya diseret keluar dari bilik solat dalam keadaan berlumuran darah pada muka serta kepala sebelum suspek melarikan diri dan memasuki sebuah kenderaan milik seorang lelaki di halaman rumah di Taman Ayer Molek.
“Pengadu yang menyedari kejadian itu meminta anak lelakinya keluar dari kenderaan tersebut dan turut menarik suspek keluar namun lelaki itu bertindak agresif, menyebabkan pengadu menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Halim berkata suspek juga dipercayai terlibat dalam kejadian melibatkan sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun di simpang Taman Ayer Molek.
“Suspek didakwa cuba merampas telefon bimbit milik isteri pengadu sebelum memegang anak perempuan pasangan itu menyebabkan pengadu cuba mendapatkan semula anaknya sehingga berlaku sedikit pergelutan,” katanya.
Halim berkata orang awam kemudiannya membantu mengawal suspek sehingga anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Melaka Tengah digerakkan ke lokasi dan menahan lelaki itu pada 8.20 malam.
“Pemeriksaan awal mendapati suspek mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dibawa ke Balai Polis Tiang Dua untuk tindakan lanjut. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif tetrahydrocannabinol (THC),” katanya.
Halim berkata semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Suspek direman sehingga 6 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 324 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Halim menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika berhadapan individu agresif atau mencurigakan sebaliknya segera menghubungi polis atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
-- BERNAMA