MALAYSIA
Polis tahan lelaki larikan kereta bersama kanak-kanak OKU

Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak orang kurang upaya berusia 12 tahun di Penaga, Kepala Batas, petang semalam. - Gambar hiasan
KEPALA BATAS: Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak orang kurang upaya berusia 12 tahun di Penaga, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Anuar Abd Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika ibu kanak-kanak perempuan berkenaan ke bengkel milik suaminya untuk menghantar minyak hitam dan telah meninggalkan anaknya di dalam kereta dalam keadaan enjin masih hidup.
"Sebaik kembali ke keretanya, wanita berusia 40-an itu mendapati kenderaan itu telah tiada. Wanita berkenaan kemudian memeriksa aplikasi penjejak lokasi Life360 untuk mengesan kedudukan telefon bimbitnya yang ada bersama anaknya itu dan mendapati lokasinya di kawasan Bagan Lalang, Butterworth," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil maklumat itu, polis berjaya menahan seorang lelaki dan menemukan semula mangsa serta kenderaan itu.Anuar berkata, semakan mendapati lelaki berusia 60-an itu mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan 11 kes dadah.
"Kanak-kanak perempuan itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Haslinda Rahmat melalui talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami