Skip to main content

Malaysia

Polis tahan lelaki warga asing disyaki serang penuntut universiti di Setapak

Polis siasat lelaki 'diserang' guna senjata tajam di hentian bas
Polis menahan seorang lelaki warga asing hari ini disyaki menyerang seorang penuntut universiti menggunakan sebatang besi di sebuah perhentian bas di Setapak semalam. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga asing hari ini disyaki menyerang seorang penuntut universiti menggunakan sebatang besi di sebuah perhentian bas di Setapak di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Annas Sulaiman berkata penahanan suspek berusia 39 tahun itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di tepi jalan di Taman Setapak pada 10.54 pagi tadi.

Beliau berkata penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 11.30 pagi semalam berhubung kejadian serangan ke atas seorang penuntut lelaki berusia 20 tahun yang menuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi swasta.

“Kejadian berlaku apabila mangsa diserang ketika sedang menunggu bas di Jalan Danau Saujana berdekatan sebuah pusat beli-belah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas sebatang besi pemutar jek kereta daripada suspek dan permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat esok.

Annas berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement