GEORGE TOWN: Polis menahan sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.7 juta dalam serbuan di sekitar kawasan Butterworth, pada 19 Jun lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata serbuan antara 2.25 petang hingga 2.40 petang itu dilakukan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hasil maklumat dan risikan.
Beliau berkata dalam serbuan pertama, polis menahan lelaki tempatan berusia 35 tahun di kawasan parkir kereta sebuah kondominium dan pemeriksaan ke atas kereta suspek berjaya merampas tiga peket serbuk dadah disyaki jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan seberat 220.69 gram.
“Suspek kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah unit apartmen di kawasan sama dan menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun.
“Pemeriksaan dalam bilik di rumah terbabit menjumpai lapan bakul plastik, tiga dulang besi dan beberapa bekas plastik mengandungi 1,269 peket serta sejumlah serbuk disyaki MDMA dengan anggaran berat keseluruhan 62.59 kilogram,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau berkata turut dirampas 91 peket mengandungi ketamin dianggarkan seberat 3.06 kilogram, 700 biji pil Erimin 5, 1,630 biji pil ekstasi dan 76 katrij berisi cecair disyaki syabu, selain peralatan disyaki digunakan untuk memproses serta membungkus dadah berkenaan.
Lim berkata siasatan mendapati apartmen berkenaan merupakan rumah sewa dan pasangan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Januari lepas.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah namun mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah.
Lim berkata pasangan terbabit kini direman tujuh hari hingga 26 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA