Polis tahan rakan serumah mangsa wanita ditemui mati tak berpakaian

Mayat mangsa ditemui berhampiran anak sungai di Blue Water Estate, Seri Kembangan, Serdang, Rabu lalu. Gambar kecil: Muhamad Farid. - Foto Sinar Harian
SERDANG: Polis menahan suspek keempat bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan terikat di tepi jalan berhampiran anak sungai di Blue Water Estate, Seri Kembangan.
Ringkasan AI
- Polis menahan suspek keempat yang merupakan rakan serumah mangsa wanita ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian di Seri Kembangan.
 - Suspek itu, seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan penganggur, ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Serdang.
 - Pihak polis sedang menyiasat kes dengan merakamkan lapan keterangan saksi serta meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan.
 
“Secara keseluruhan, setakat ini, kita telah menahan empat suspek, termasuk tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan pada Jumaat lalu. Mereka terdiri daripada bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa, berusia antara 24 hingga 30 tahun.
“Polis juga masih meneruskan usaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut Muhamad Farid, pihak polis telah merakamkan lapan keterangan saksi setakat ini, termasuk jiran di kawasan kediaman mangsa serta kenalan rapatnya.
“Kita sedang dalam proses mendapatkan perintah lanjutan reman terhadap tiga suspek lelaki yang sebelum ini direman selama lima hari,” katanya lagi.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau butiran tambahan berkaitan mangsa agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222.
Mayat mangsa, seorang wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang, ditemui oleh orang awam pada jam 3.45 petang, 29 Oktober lalu.
Penemuan berlaku selepas orang awam terhidu bau mencurigakan semasa melalui kawasan Jalan Anggerik, Seri Kembangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


