IPOH: Polis berjaya menahan seorang lelaki dan merampas dadah heroin dan ganja yang dianggarkan bernilai RM122,750 di sebuah rumah di Sitiawan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu ditahan kira-kira jam 2.30 pagi kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti mengedar kedua-dua jenis dadah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menjumpai dan merampas paket dan ketulan dipercayai dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 3.45 kilogram bernilai kira-kira RM120,750 dan ganja seberat 440 gram bernilai RM2,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan suspek juga mempunyai lapan rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Mohd Yusri berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, suspek dipercayai mula aktif dalam pengedaran dadah sejak tahun 2021.

Katanya, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak dan boleh digunakan oleh seramai 9,000 orang penagih.

Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1987 dengan menyita tiga buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM98,000.

Katanya, suspek telah direman seminggu mulai 13 hingga 19 Februari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.