Polis menegur sikap orang ramai di daerah ini yang masih kurang mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan dengan berada di tempat awam tanpa sebab munasabah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata rata-rata yang ditemui dalam sekatan jalan raya memberikan alasan tidak kukuh untuk masih berada di tempat awam.

"Ada antara mereka memberikan alasan ingin melihat keadaan sebenar bandar Kuantan selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dan ada yang sekadar melawat rakan di kediaman mereka.

"Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah seperti saranan kerajaan dan tempoh dua minggu ini bukan masa untuk bersiar-siar atau untuk bersuka ria," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Tturut hadiri Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Abd Jalil berkata, sekatan jalan raya untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai ini akan diteruskan setiap hari sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di semua 11 daerah di negeri ini dengan empat sekatan di setiap daerah.

Dalam sekatan jalan raya berkenaan, beliau berkata, pihaknya hanya memberi amaran dan nasihat namun tidak menolak tindakan boleh diambil mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika ramai yang masih ingkar.

"Hanya mereka mempunyai alasan kukuh seperti bertugas dalam perkhidmatan penting, mendapatkan rawatan di hospital atau membeli bahan makanan sahaja yang dibenarkan berapa di tempat awam," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tujuh pegawai dan anggota Polis Kontingen Negeri Pahang disyaki menghidap COVID-19 dan kini sedang dikurantin bagi tempoh 14 hari di kediaman masing-masing termasuk lima orang di Pekan dan dua orang di Temerloh.

"Anggota di Pekan sudah dikuarantin sejak tiga hari lepas manakala pegawai di Temerloh dikuarantin mulai semalam. Mereka semua memang mempunyai kontak dengan pesakit yang positif COVID-19.

"Penyakit ini tidak mengenal umur dan latar belakang yang bermakna anggota polis juga boleh dijangkiti. Saya nasihatkan semua anggota polis yang bertugas supaya jaga kebersihan diri masing-masing dan dapatkan rawatan jika jatuh sakit," katanya.