Skip to main content

Dunia

Arab Saudi keluar amaran "potensi bahaya" di Jeddah, Makkah, Taif

71585065818_arabsaudicovid.jpg
Pertahanan Awam turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung bangunan. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Arab Saudi pada Selasa mengeluarkan amaran kecemasan mengenai “potensi bahaya” di Jeddah, Makkah dan Taif di barat negara itu, sambil menggesa penduduk berlindung dan mematuhi arahan keselamatan rasmi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Pertahanan Awam Arab Saudi, amaran itu dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Nasional bagi Kecemasan.

Pertahanan Awam Arab Saudi kemudian menerusi hantaran di X memaklumkan bahawa “bahaya telah berlalu”, sambil menggesa orang ramai supaya tidak berhimpun dan merakam kejadian.

Pihak berkuasa tidak memperincikan bentuk potensi bahaya berkenaan, menurut Anadolu.

Menerusi amaran itu, penduduk digesa supaya bertenang dan segera menuju ke tempat selamat terdekat, sebaik-baiknya di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh dari tingkap, serta kekal berada di situ sehingga bahaya berlalu.

Pertahanan Awam turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung bangunan, manakala mereka yang berada di luar diminta memasuki bangunan terdekat atau berlindung di sebalik penghadang kukuh.

Pemandu yang menerima amaran itu diarahkan berhenti di tempat selamat yang jauh dari jambatan dan bangunan tinggi, manakala orang ramai digesa mengelakkan kawasan tumpuan serta lokasi berbahaya dan mematuhi arahan menerusi saluran rasmi.

Amaran itu dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi semakin memuncak, dengan kumpulan itu melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron terhadap bandar serta infrastruktur Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Tentera Arab Saudi bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi di Yaman.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement