KUALA LUMPUR: Gesaan UMNO untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atas alasan kehendak rakyat berkemungkinan besar dibayangi motif tertentu terutamanya untuk mengelakkan lebih ramai pimpinannya termasuk dari komponen Barisan Nasional (BN) dari terjerat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, AMK melihat tiada keperluan untuk mempercepatkan PRU16 kerana tempoh pemerintahan Kerajaan MADANI hanya akan tamat pada November 2027 dan negara sedang diuruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan begitu baik.
Justeru, katanya, motif UMNO untuk mendesak PRU disegerakan tidak mempunyai alasan yang kukuh selain daripada kerakusan mendapatkan kuasa dan ketakutan mereka sekiranya lebih ramai pimpinan BN akan dihadapkan ke mahkamah atas kecurangan pentadbiran mereka yang lalu.
“AMK berpegang teguh atas pendirian kerajaan MADANI yang mahu menamatkan penggal pemerintahan selama lima tahun dengan usaha keras yang berterusan untuk membaik pulih negara dengan dasar-dasar ekonomi dan sosial yang mampu, selain kempen anti sakau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 beberapa hari lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan, sambil memberi isyarat bahawa parti itu bersedia membentuk kerjasama politik baharu apabila ‘biru’ bertemu ‘hijau’.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairuddin sebelum ini menjelaskan, Ahmad Zahid perlu membersihkan namanya di mahkamah terlebih dahulu sebelum bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas PRU16 yang akan datang.
Katanya, umum masih maklum terdapat proses perundangan berkaitan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) berkaitan kes Yayasan Akalbudi terhadap Presiden UMNO itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan, PRU16 wajar disegerakan kerana tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini sudah memasuki “edah pilihan raya”.
Ujarnya, 'edah pilihan raya' merujuk tempoh selepas tiga tahun sesuatu kerajaan mentadbir yang membolehkan pilihan raya diadakan, meskipun tempoh maksimum lima tahun bagi sesuatu Parlimen masih belum berakhir.