ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 15 September 2026.
1. Pempengaruh Aisar Khaled didakwa terbabit penipuan RM1.3 juta di Indonesia
Pempengaruh media sosial terkenal, Aisar Khaled dilaporkan kepada pihak polis Indonesia berhubung dakwaan penipuan melibatkan nilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
2. 'Tutup pintu kepada UMNO' hanya pandangan peribadi Guan Eng, bukan pendirian DAP - Chow Kon Yeow
Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan gesaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan Pulau Pinang “menutup pintu” kepada UMNO, adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti DAP.
3. Ambil bola dalam longkang, polis sahkan empat kanak-kanak meninggal dunia
Polis sahkan empat kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun lemas disyaki ketika mahu mengambil bola yang melantun ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di Kulim, pada Isnin.
4. Suami tikam isteri 13 kali direman, suspek serah pisau lipat
Lelaki yang disyaki menikam isteri sehingga 13 kali dalam kejadian di Taman Tiram pada Isnin, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
5. Dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan proklamasi perlu diserah kepada polis - Azalina
Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada polis untuk siasatan, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
6. Muhyiddin lepas, bebas 1 kes rasuah, 3 AMLA babit Jana Wibawa RM200 juta
Selepas melalui perbicaraan kes Program Jana Wibawa, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan RM200 juta.
7. Orang ramai dinasihat tidak berpusu-pusu tukar MyKad baharu 17 Sept ini
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar MyKad kepada versi baharu apabila permohonan dibuka mulai 17 Sept ini.
8. Menteri Besar tiada kuasa unilateral tamatkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan
Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
9. Malaysia tidak akan jadi laluan transit bagi penghantaran kargo ketenteraan ke Israel - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan negara ini dijadikan sebagai laluan transit bagi sebarang kargo yang menyumbang kepada operasi ketenteraan Israel.
10. Pejabat KM Melaka nafi dakwaan TYT, Rauf tandatangani dokumen bubar DUN
Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan tular kononnya Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, telah menandatangani dokumen pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini.