KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya menumpaskan satu sindiket membuat dan mengedarkan wang palsu di negeri itu sejak setahun lalu, dengan tertangkapnya dua lelaki dalam serbuan di bandar Kuala Terengganu pada Ahad.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata serbuan menerusi Op Rajawali itu, dibuat di sebuah rumah sewa di kawasan bandar Kuala Terengganu di sini, sekitar 4 pagi.

Beliau berkata kedua-dua suspek lelaki yang ditahan, berusia 28 dan 33 tahun serta masing-masing berasal dari Selangor dan Terengganu.

"Suspek dipercayai menggunakan wang palsu untuk membeli barang-barang kecil seperti rokok, alat tulis dan makanan yang berharga rendah, untuk mendapatkan tukaran wang yang betul. Wang palsu itu juga dipercayai digunakan untuk pasaran gelap seperti membeli dadah dan sebagainya," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Mazli berkata polis turut merampas 27 keping wang kertas palsu RM100; dua unit telefon bimbit; satu unit komputer riba; satu unit alat pencetak; sebuah kereta; dan pelbagai alatan untuk menghasilkan wang palsu.

Beliau berkata kegiatan dua rakan itu terbongkar, apabila seorang pekerja di sebuah kedai alat tulis membuat laporan menerima wang palsu semasa dia bekerja.

"Kedua-dua lelaki tersebut mempelajari cara memalsukan wang hanya melalui saluran Youtube," katanya.

Mazli berkata pihaknya juga percaya dengan tertangkapnya kedua-dua suspek tersebut, polis berjaya menyelesaikan 69 kes wang palsu yang telah dilaporkan dari 2022 hingga 2023.

"Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu telah ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lepas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan, Seksyen 489D akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun," katanya.

Mazli berkata selain itu kedua-dua suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

-- BERNAMA