SHAH ALAM: Semua kenderaan menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 diwajibkan melalui pemeriksaan saringan di lima lokasi utama bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik sepanjang acara itu.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata lima lokasi berkenaan ialah dari arah Plaza Tol Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jalan Pekeliling: dari arah KLIA1 ke Jalan Pekeliling; sebelum Bulatan Masjid menuju ke SIC; dari arah Kota Warisan ke Labohan Dagang menuju ke Jalan KLIA1 dan simpang empat Jalan Kuarters KLIA menuju ke SIC (lampu isyarat Enstek).
“Semua kenderaan yang akan menuju ke SIC akan disaring dengan pemeriksaan tiket, pas kenderaan dan pelekat akses sebelum pengunjung dibenarkan memasuki kawasan SIC.
“Seramai 365 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor ditugaskan bagi mengawal lalu lintas, rondaan pencegahan kesesakan, penguatkuasaan undang-undang serta kawalan pengiring tetamu kenamaan (VIP) sepanjang acara berlangsung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Shazeli berkata penugasan kawalan trafik itu berkuat kuasa dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari bermula esok (2 Okt) dengan tumpuan utama pada perlumbaan utama yang berlangsung Ahad ini (4 Okt).
Mengenai kapasiti parkir, Shazeli berkata kawasan yang disediakan mampu menampung 9,000 kenderaan meliputi 17 lot, di samping ruang yang boleh memuatkan 100 bas dalam satu-satu masa.
Selain kawalan di pintu masuk, beliau berkata pihak berkuasa turut menyelaraskan perkhidmatan kenderaan awam secara terperinci bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
“Sebanyak 200 pas e-hailing dikeluarkan kepada perkhidmatan Grab manakala 100 pas kepada Prestige Lane untuk mengambil serta menghantar penumpang ke Parkir Jangka Panjang (LTCP) serta hotel terpilih.
“Inisiatif mobiliti turut diperkasakan menerusi penyediaan 95 bas perantara daripada MyRapid di empat lokasi pengambilan, diikuti 50 bas perkhidmatan shuttle in-partners with Grab di dua lokasi khusus bagi memudahkan pergerakan penonton ke destinasi tuju,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli menasihatkan pengunjung yang tidak mempunyai tiket parkir agar meletakkan kenderaan berdekatan dengan lokasi perkhidmatan bas perantara dan e-hailing yang telah ditetapkan bagi melancarkan pergerakan trafik.
Beliau berkata tindakan tegas termasuk saman dan penundaan kenderaan akan dilaksanakan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar, khususnya mereka yang meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar kawasan larangan.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan sistem tidal flow atau contra flow akan dibuka sepanjang kira-kira 13 kilometer laluan keluar dan masuk bermula dari Bulatan Masjid ke SIC, justeru pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan anggota JSPT, papan tanda sementara, kon serta kawalan lorong sepanjang pelaksanaan sistem berkenaan.
“Sekiranya berlaku kesesakan di luar kawasan litar, pengguna dari arah utara ke selatan boleh menggunakan laluan alternatif melalui Lebuhraya ELITE - susur Saujana Putra - South Valley (SKVE) dan Plaza Tol KL-Seremban.
“Satu lagi laluan alternatif ialah Lebuhraya ELITE - susur Putrajaya - Lebuhraya MEX dan Plaza Tol KL-Seremban,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengawal serta melencongkan kenderaan berat seperti lori di lapan lokasi pemeriksaan iaitu Bulatan Masjid; Simpang Tiga hadapan Pintu Utama F1; Jalan KLIA S8/Jalan Pekeliling; Jalan B48-Jalan 1266; Persiaran Teknologi 1-Persiaran Milenia 2; Persiaran Teknologi 2-Persiaran Seri Emas Utama; Jalan Merpati-Jalan Besar Salak; serta Jalan Besar Salak-Jalan Kuarters KLIA.
Maklumat berkaitan laluan ke SIC dan KLIA sepanjang berlangsungnya acara F1 itu turut akan dipaparkan pada papan iklan digital di Plaza Tol KLIA dan orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan petugas di lapangan, datang lebih awal dan merancang perjalanan dengan teliti.
Penumpang penerbangan di KLIA pula digesa bertolak lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan mereka tiba di lapangan terbang mengikut masa yang ditetapkan.
-- BERNAMA