KUALA LUMPUR: Seorang wanita antara lima warga tempatan ditahan, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah masuk dan samun 24 buah klinik dan farmasi di sekitar ibu kota, Selangor dan Pahang, melibatkan kerugian dianggar bernilai RM50,000.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata Geng Adem yang dianggotai suspek berusia lingkungan 22 hingga 32 tahun itu, ditahan di sekitar Sentul dan Sri Damansara, di sini, pada 1 Mac lepas.

Beliau berkata pada 23 Feb, polis menerima laporan pada 10.37 pagi daripada seorang kerani sebuah klinik, yang dipecah masuk suspek.

"Kerugian dialami klinik berkenaan adalah sebanyak RM2,194. Suspek turut membawa ubat-ubatan untuk penyakit Anxiety dan Depression, dipercayai untuk kegunaan salah seorang daripada mereka.

"Hasil siasatan yang dijalankan, kesemua suspek telah ditahan pada 1 Mac. Polis turut merampas dua batang perengkoh paip, dua buah kenderaan jenis Proton Saga dan Wira, enam buah telefon bimbit dan pelbagai peralatan klinik termasuk ubat-ubatan serta wang tunai berjumlah RM4,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Beh berkata kumpulan yang diketuai lelaki dikenali Adem berusia 31 tahun itu, aktif sejak akhir tahun lepas dengan menyasarkan klinik dan farmasi yang tidak beroperasi pada waktu malam, dan menjalankan kegiatan jenayah mereka sekitar pukul 3 hingga 4.30 pagi.

Beliau berkata tiga daripada suspek, mempunyai rekod jenayah lampau berkait curi kenderaan, pecah rumah dan dadah, manakala empat daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dengan dua telah dituduh di mahkamah atas jenayah dadah.

Beliau berkata suspek kini direman sehingga esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Beh berkata polis kini sedang memburu seorang lagi suspek dari kumpulan itu yang masih bebas iaitu Muhammad Amir Abdullah atau Kecik berusia 25 tahun.

-- BERNAMA