BALIK PULAU: Polis menumpaskan geng along selepas menahan lapan lelaki kerana menawarkan pinjaman wang tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah premis di Bayan Lepas di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kesemua lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, hasil risikan dan maklumat awam.

"Berdasarkan siasatan awal, selain menawarkan pinjaman tanpa lesen dengan faedah yang tinggi, mereka juga mengugut mangsa yang gagal membuat bayaran balik pinjaman," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya susulan penahanan lapan lelaki itu, polis merampas 19 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 15 keping kad ATM pelbagai bank, tiga buku cek, lapan keping cek atas nama peminjam, senarai nama peminjam, empat kereta dan 14 salinan kad pengenalan peminjam.

Katanya kesemua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Bayan Baru-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, bermula pukul 11 malam tadi hingga 7 pagi hari ini.

"Kami menahan dua lelaki berkenaan kerana selain berlumba, mereka juga melakukan aksi menunggang secara berbahaya. Suspek kini direman dan kes disiasat menurut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya menambah dua motosikal turut disita selain lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.

Polis daerah Barat Daya akan menjalankan operasi secara berterusan dan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan terutama pada hujung minggu, katanya.

-- BERNAMA