HULU SELANGOR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Hulu Selangor selepas menahan empat lelaki dan merampas 15.28 kilogram (kg) ganja di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata sebahagian besar ganja yang ditemukan dibungkus seperti potongan lemang dengan nilai dianggarkan berjumlah RM43,710.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan suspek berumur 36 tahun di dalam sebuah kereta Proton Persona yang diletakkan di sebuah apartmen di Bukit Beruntung dan merampas kira-kira 14 kg ganja di dalam kenderaan terbabit.

"Penahanan lelaki itu membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga asing berumur lingkungan 23 hingga 61 tahun berhampiran sebuah restoran di Bukit Sentosa serta menjumpai 3 gram ganja pada seorang daripada suspek.

"Seorang suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah stor di sebuah apartmen di Bukit Beruntung dan merampas ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat 1.28 kg. Polis turut merampas sepucuk pistol angin berserta satu kelopak peluru," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim (kiri) menunjukkan kenderaan yang dirampas selepas mengadakan sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket dadah di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Selangor hari ini. - Foto Bernama

Ahmad Faizal berkata selain wang tunai, masing-masing sebuah kereta, pacuan empat roda dan motosikal turut disita dalam operasi itu.

Saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah dan kesemuanya direman tujuh hari hingga 15 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA