Polis tumpas sindiket edar MDMA libat rampasan bernilai RM3.4 juta

Dalam dua serbuan pertama di George Town, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing di tempat parkir kenderaan.
GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) selepas menahan tujuh individu dan merampas dadah bernilai RM3.4 juta dalam serbuan di sekitar bandar raya ini dan Seberang Jaya, antara 4 petang semalam hingga 3 pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kesemua suspek berusia antara 31 hingga 54 ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan IPD Seberang Perai Tengah (SPT), hasil risikan dan kerjasama orang awam.
"Dalam dua serbuan pertama di George Town, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing di tempat parkir kenderaan.
"Pandu arah suspek telah membawa kepada penemuan 22 dan 213 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 755.9 gram (g) dan 5,523g serta satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk disyaki ketamin seberat 17.5g," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil soal siasat dan maklumat oleh suspek membawa polis melakukan serbuan susulan di sebuah rumah di Seberang Jaya dan menangkap lima lagi suspek iaitu empat lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.
Azizee berkata pemeriksaan lanjut menemukan tiga balang plastik berisi serbuk disyaki MDMA seberat 2,660g serta 12 bungkusan plastik mengandungi 438 paket lutsinar, juga disyaki mengandungi MDMA seberat 14,530g.
Beliau berkata saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah manakala semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
"Dalam serbuan itu, polis turut menyita dua kereta jenis Nissan Teana dan Proton Preve bernilai kira-kira RM40,000, menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM3.39 juta," katanya.
Azizee berkata berdasarkan siasatan, sindiket dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak pertengahan tahun ini dan semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 6 Nov depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


