Skip to main content

Malaysia

Polis tumpas sindiket judi dalam talian kutip pertaruhan RM27 juta sehari

Kuala Lumpur , 18 Mac 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  Datuk M. Kumar S. Muthuvelu pada sidang media berkenaan kejayaan OP Lejang Mewah Klon : Jenayah Curi dan Klon Identiti Kenderaan di 6 Buah Negeri di Pulapol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kumar berkata sindiket itu membangunkan aplikasi sendiri sebelum mempromosikannya kepada pengguna tempatan untuk membuat pertaruhan bola sepak dan perjudian lain. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SUBANG JAYA: Sindiket perjudian dalam talian yang dipercayai mengutip pertaruhan dianggarkan RM27 juta sehari termasuk berkaitan Piala Dunia tumpas selepas polis menyerbu 19 premis perniagaan dan kediaman di sekitar Lembah Klang menerusi Ops SOGA XI pada 16 Julai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata sebanyak 161 individu terdiri daripada 106 lelaki dan 55 wanita termasuk enam warga asing berusia 19 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan pada 2.30 petang itu.

Beliau berkata turut ditahan lima lelaki tempatan berusia 34 hingga 45 tahun yang juga pengarah atau pemegang saham syarikat yang disyaki berperanan sebagai dalang dan operator kepada sindiket terbabit.

Kumar berkata sindiket itu beroperasi dari enam bulan lepas dan berselindung di sebalik beberapa syarikat termasuk berkaitan komputer.

“Meskipun menggunakan beberapa nama syarikat berbeza, siasatan awal mendapati semua premis itu dipercayai dikendalikan satu sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.

Kumar berkata sindiket itu membangunkan aplikasi sendiri sebelum mempromosikannya kepada pengguna tempatan untuk membuat pertaruhan bola sepak dan perjudian lain.

“Mereka turut menyasarkan pasaran luar negara termasuk negara jiran tetapi semua kredit dan pertaruhan dikawal sindiket yang beroperasi di negara ini,” katanya. 

Sebanyak 14 kertas siasatan dibuka berhubung kes itu, iaitu lima di Kuala Lumpur dan sembilan di Selangor.

Kumar berkata polis merampas 182 komputer, komputer riba pelbagai jenama (137 unit), telefon bimbit (152 unit), modem, penghala dan dekoder serta kad bank dalam serbuan itu.

Berhubung pencapaian keseluruhan Ops SOGA dari 19 Jun hingga 20 Julai, Kumar berkata sebanyak 649 serbuan dilaksanakan melibatkan penahanan 945 individu dan rampasan wang tunai kira-kira RM199,000 dengan nilai kredit pertaruhan berjumlah RM35 juta.

Beliau berkata operasi yang disertai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengesan 637 laman sesawang yang mempromosikan aktiviti perjudian sepanjang kejohanan Piala Dunia.

“Sebahagian laman sesawang termasuk yang beroperasi dari luar negara sudah diturunkan manakala selebihnya dalam proses untuk disekat,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement