JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket penipuan pekerjaan dengan penahanan empat warga Singapura dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Perling, pada 26 Jun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata tiga lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 40 tahun itu ditahan hasil kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kontinjen Johor.

Beliau berkata sindiket dipercayai aktif sejak dua bulan lepas dan melibatkan kerugian berjumlah SGD$2.9 juta atau hampir RM10 juta itu menyasarkan mangsa warga Singapura.

"Sindiket ini menawarkan peluang pekerjaan tidak wujud di Singapura. Seramai 59 warga republik itu telah menjadi mangsa, namun ia tidak melibatkan mangsa atau menggunakan akaun bank Malaysia," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, sindiket itu menjadikan Johor sebagai lokasi panggilan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya tiga lelaki itu diserahkan kepada Polis Singapura pada 30 Jun lepas untuk tindakan lanjut, manakala wanita pula pada 5 Julai iaitu selepas Mahkamah Singapura mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Dalam kes lain, Kamarul Zaman berkata 12 lelaki dan tiga wanita tempatan berusia 22 hingga 43 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam sindiket along, hasil serbuan di 13 lokasi berasingan di sekitar Iskandar Puteri dan bandar raya ini, semalam.

Beliau berkata kesemua mereka daripada sindiket along dikenali kumpulan 'Ah Hao' itu direman hingga Ahad ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Katanya pihaknya pada masa sama turut menahan empat ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang menyebabkan seorang mangsa lelaki tempatan berusia 26 tahun putus pergelangan tangan kiri, dalam kejadian di Taman Tampoi Utama, Skudai di sini pada 3 Julai lepas.

"Kesemua lelaki berusia 19 hingga 43 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini pada 3 dan 4 Julai lepas dan polis sedang mengesan tiga lagi individu masih bebas bagi membantu siasatan," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA