KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan skim penipuan pelaburan palsu 'Amundi' yang didakwa menawarkan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh 48 jam dengan menahan 16 individu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sindiket itu dikesan giat mempromosikan aktiviti tersebut di media sosial dengan menggunakan nama 'Pelaburan Amundi (Asset Management) Sdn Bhd'.

"Hasil siasatan mendapati tawaran pelaburan ini menjanjikan pulangan keuntungan yang sangat tinggi hanya dalam tempoh 48 jam dengan menawarkan beberapa pakej istimewa seperti 'Basic', 'Premium', 'Crown' dan 'Superconquer'.

"Modus operandi sindiket ini menggunakan pakej istimewa di mana 'Basic' dengan modal RM600 membawa keuntungan RM8,500, diikuti 'Premium' bermodalkan RM900 menjamin pulangan sehingga RM15,500," katanya dalam sidang media JSJK di sini, hari ini.

Ramli berkata dua pakej lain ditawarkan ialah 'Crown' dengan modal pelaburan sebanyak RM1,800 berserta keuntungan dijamin sebanyak RM35,500 manakala 'Superconquer' dengan modal pelaburan RM4,000 dan keuntungan mencecah RM85,500.

Beliau berkata setakat ini 15 kertas siasatan telah dibuka terhadap skim penipuan itu melibatkan nilai kerugian berjumlah lebih RM166,000.

"Dalam usaha untuk menumpaskan kegiatan sindiket ini, seramai 16 individu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita telah ditahan dalam dua operasi di Johor dan Sarawak pada 6 dan 7 Mac lepas dan polis turut merampas 20 buah telefon bimbit, sebuah komputer riba, tiga keping kad mesin ATM dan sebuah beg silang," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ialah warga tempatan berusia antara 21 hingga 70 tahun yang disyaki berperanan sebagai pekerja syarikat dan pemilik keldai akaun digunakan untuk menipu mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA