Polis menumpaskan tiga sindiket dipercayai mengedar dan menyeludup masuk dadah ke negara ini dengan penahanan enam suspek termasuk warga asing dalam serbuan di kawasan parkir kereta di sebuah hotel di Jalan Ampang, Cheras di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh berkata polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu seberat 5,143 gram dan 20 biji pil ecstacy dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM1.02 juta.

Katanya tangkapan itu dibuat atas maklumat dan kerjasama diberikan orang awam serta risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Cheras.

"Dalam kes pertama pada 1.50 petang, polis berjaya menahan dua suspek, seorang suspek lelaki 40 tahun bertaraf pemastautin tetap dan seorang wanita warga asing, 25 tahun," katanya pada sidang media.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan.

Mohan Singh berkata hasil siasatan ke atas suspek lelaki itu, dia mengaku bahawa di dalam but keretanya jenis BMW yang berada di tempat letak kereta di hotel yang sama mempunyai dadah.

"Hasil pemeriksaan pada but kereta suspek, polis menjumpai satu beg galas yang mengandungi bungkusan dadah disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 3,250 gram," katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam operasi pada hari yang sama pada 1.56 petang di lokasi yang sama, polis telah menahan suspek lelaki rakyat tempatan, 38 tahun dan suspek perempuan warga asing, 22, di kawasan tempat letak kereta Aras B2 hotel tersebut.
"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek lelaki, pihak polis berjaya merampas satu kotak rokok mengandungi satu foil aluminium berisi tiga biji pil erimin 5 yang dijumpai dalam poket seluar suspek," katanya.

Katanya hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan di dalam sebuah beg sandang suspek lelaki itu, polis berjaya merampas antaranya dua beg plastik, setiap satu mengandungi dadah disyaki syabu, alat timbang elektronik, plastik membungkus, alatan menghisap dadah dan wang tunai berjumlah RM19,365.

Katanya kedua-dua suspek direman enam hari mulai hari ini.

Mohan Singh berkata bertindak atas maklumat, polis telah membuat serbuan ke atas sebuah bilik di hotel yang sama semalam dan menahan seorang suspek lelaki rakyat tempatan, 32 tahun dan seorang suspek perempuan warga asing, 27, pada 2.56 petang.

"Pemeriksaan ke atas bilik tersebut, polis merampas empat paket plastik mengandungi dadah disyaki syabu, dua biji pil bertanda 'WY', 19 biji pil ecstacy, 11 biji Erimin 5, dan satu paket plastik mengandungi dadah disyaki Ketamin," katanya.

Beliau berkata kedua-duanya direman empat hari mulai hari ini.

"Polis percaya bahawa mereka mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain," katanya.