Politik berdasarkan bangsa dan etnik sebenarnya boleh membawa kepada perpaduan rakyat dan negara.

Demikian saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan politik berdasarkan bangsa mempunyai aspek positif dan negatif.

"Kita perlu mendefinasikan politik berdasarkan bangsa. Ada politik begini yang memperlagakan bangsa-bangsa.

"Ada juga politik bangsa dimana tujuannya adalah untuk menjaga kepentingan sesuatu komuniti. Ini tidak salah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Jelasnya, aspek negatif dimana bangsa dilagakan antara satu sama lain tidak sepatutnya berlaku.

"Selagi kepentingan komuniti ini tidak bercanggah dengan keharmonian negara, tidak salah, tetapi saya rasa politik dimana bangsa-bangsa cuma mementingkan diri sendiri tidak boleh dibenarkan," ujarnya.

Tambahnya, salah satu aspek yang perlu dihentikan adalah perbuatan menghina dan memperlekehkan agama serta bangsa.

"Kita perlu hentikan suara ekstrimis yang mempromosikan politik kebencian. Ada dua cara untuk menghentikan.

"Pertama adalah dengan adanya undang-undang jelas yang tidak membenarkan penghinaan bangsa dan agama berlainan kerana kita adalah masyarakat yang sensitif dan kedua, masyarakat perlu mengutuk dan menolak segala ucapan yang menghina," jelasnya.