MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka mengesahkan sudah merakam percakapan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berhubung dakwaan membabitkan penyelewengan royalti projek tambakan laut.

Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad berkata, pertemuan itu diadakan sekitar dua jam di sebuah lokasi sekitar Melaka Tengah pada petang semalam.

Menurut beliau, maklumat berkenaan telah direkodkan dan dihantar ke ibu pejabat untuk dianalisa sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Saya mengesahkan bahawa kita telah berjumpa dengan pihak beliau (Idris) dan sudah mengambil beberapa maklumat untuk diperincikan oleh pihak ibu pejabat.

“Setakat ini tidak ada lagi (dokumen) diambil, kita hanya berjumpa untuk mendapatkan keterangan yang mana seperti beliau kemukakan kepada pihak media sebelum ini,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di sini hari ini.

BACA; Politik Melaka: Projek tambak laut sudah dilaksana ketika pemerintahan Idris

Sebelum ini, Idris  mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir yang menyebabkan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

SPRM dalam reaksi segera turut memaklumkan memandang serius dakwaan Idris dan akan menghantar pegawai untuk bertemu dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut SPRM, mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama.