IPOH:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenan untuk menerima menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, esok.

Sumber Istana memaklumkan, majlis menghadap itu akan berlangsung jam 10 pagi di Istana Kinta di sini.

Difahamkan, majlis menghadap itu berkait sokongan majoriti dan pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu.

Pada majlis menghadap itu juga, Ahmad Zahid dilapor akan menyembah maklum nama calon Menteri Besar dari UMNO untuk pertimbangan Sultan Nazrin.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dikatakan antara individu yang akan menduduki kerusi Menteri Besar Perak Ke-14.

Ia selepas semua ADUN UMNO Perak secara konsensus menamakan Saarani sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Namun, pengesahan dan perincian berkenaan nama-nama calon Menteri Besar hanya akan diketahui selepas Ahmad Zahid selesai menghadap Sultan Nazrin esok.

LAPOR LANGSUNG: UMNO bakal adakan mesyuarat tergempar?