KUALA LUMPUR: Pontian menjadi daerah terbaharu dilanda banjir kilat, menjadikan jumlah mangsa di Johor meningkat kepada 323 orang setakat 8 malam ini, berbanding 296 orang, petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa di Johor ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk sebuah PPS baharu dibuka pada 5.50 petang tadi di Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pontian yang menempatkan 17 mangsa.

"Di Daerah Kulai, Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang menempatkan 139 mangsa dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya dengan 76 mangsa, manakala Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di Kluang menempatkan 34 mangsa.

"Sementara di Segamat tiga PPS menempatkan 57 mangsa iaitu masing-masing 39 mangsa di Balai Raya Kampung Batu Badak, Balai Raya Kampung Kuala Paya (empat mangsa) manakala Dewan Komuniti Tasek (14 mangsa)," menurut kenyataan itu.

Sementara itu di SELANGOR, menerusi laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan iaitu 395 mangsa membabitkan 95 keluarga berbanding 538 (133 keluarga) petang tadi di enam PPS di Klang dan Kuala Selangor setakat 4.28 petang.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Selangor PPj (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin dalam kenyataan berkata pihaknya turut melakukan pemantauan berkala di setiap daerah terutama melibatkan 307 lokasi titik panas banjir di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan sebarang aduan berhubung pembersihan longkang bagi memastikan sistem saliran air dalam keadaan baik bagi menghadapi banjir di seluruh Selangor, boleh diajukan kepada KDEB Waste Management melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2742824.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus meningkat setakat 8 malam ini apabila seramai 1,681 orang membabitkan 552 keluarga direkodkan berbanding 1,520 orang daripada 494 keluarga pada petang tadi.

JKM memaklumkan kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di tujuh PPS di Daerah Pasir Mas.

Menerusi laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula, Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 9.75 meter.

-- BERNAMA