DREBAR
Porsche 911 GTS terbaru


Semenjak itu, model-model Boxster, Cayman, Panamera dan tentunya 911 telah diberikan ‘rawatan’ GTS yang secara kasarnya memberikan prestasi dinamik yang lebih untuk keseronokan pemandu. Terbaru, Porsche baharu sahaja melancarkan model 911 GTS, yang akan merangkumi kesemua pilihan badan Carrera yang ada.
Ini termasuk kedua-dua jenis Coupe dan Cabriolet, seterusnya kepada pilihan sama ada pacuan roda belakang ataupun pacuan semua roda.

Enjin yang terletak di bahagian belakang masih lagi mengekalkan unit 6-silinder jenis ‘Boxer’ yang menghasilkan 430hp, iaitu tambahan sebanyak 30hp berbanding varian Carrera S. Sport Chrono, mount enjin aktif, dan sistem penyerap hentak Porsche Active Suspension Management (PASM) yang merendahkan kereta sebanyak 10mm merupakan pemasangan standard.
Seperti biasa, model GTS ini datang dengan fender belakang yang lebih besar bersama dengan jarak antara kedua roda belakang (rear track) yang dilebarkan. Roda itu sendiri berukuran 20 inci, dipadankan dengan mekanisme centre-lock seperti kereta lumba.

Paling menawan adalah pemasangan sistem ekzos sport sepertimana bagi model-model GTS sebelum ini, yang sangat efektif dalam menimbulkan bunyi yang begitu garang.
Dengan kota gear klac berkembar PDK, 911 Carrera GTS ini dikatakan mampu untuk merekod penggunaan bahan api serendah 8.7 liter/100km, serta memacu ke 100km/sj dari rehat dalam masa 4 saat.

Belum diketahui sama ada kesemua varian Porsche 911 GTS akan diimport ke Malaysia tetapi sudah hampir pasti pengedarnya Sime Darby Auto Performance akan membawa sekurang-kurangnya varian Carrera Coupe untuk dijual. Kita lihat sahaja.


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami